Saturday 21 July 2012

Latihan Kefahaman 1


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.
            Aku dilahirkan di sebuah kedai membuat pakaian di bandar Kuantan. Aku diperbuat daripada benang sutera yang dimport daripada negara Jepun. Badan aku berwarna biru dan dihiasi dengan corak bunga teratai yang berwarna kuning. Kawan-kawanku memuji kecantikanku. Sesungguhnya aku sungguh bersyukur dan bangga dilahirkan cantik sebegini.
Setelah aku siap dipotong, aku telah dibungkus dengan kemas di dalam sebuah kotak bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku dan kawan-kawanku telah dihantar dengan menggunakan sebuah lori ke sebuah pasar raya yang besar di Petaling Jaya. Aku dan kawan-kawanku akan dijual di situ.
Aku dan kawan-kawanku telah dipamerkan di sudut menjual pakaian di pasar raya itu. Aku berasa bangga berada di situ. Orang ramai yang datang sering memuji-mujiku. Kata mereka, warna aku menarik dan potongan badanku cantik. Kata-kata mereka ini tambah membanggakan aku lagi.
Pada suatu hari, datang seorang perempuan muda yang bergaya ke tempat aku dan kawan-kawanku dipamerkan. Aku ternampak dia membelek-belek kawan-kawanku, kemudian dia menggelengkan kepalanya. Perempuan muda itu ternampak aku. Akhirnya dia membelek-belekku sambil tersenyum. Dia mengacukan aku ke badannya. Kemudian, dia terus ke kaunter pembayaran untuk membayar hargaku.
Kini, bermulalah kehidupan baru dalam hidupku. Aku telah mendapat tuan yang baru. Aku berasa gembira dan bangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan kepada tuanku. Aku berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada tuanku. Tuan aku selalu mamakai aku ketika pergi ke pejabat dan ke masjlis-majlis rasmi. Kawan-kawan tuan aku sering memujinya apabila memakaiku.Aku berasa sangat bangga dengan pujian tersebut. Apabila aku digunakan, aku dibasuh dan dijaga. Kemudian, tuan aku menggosokkan aku supaya aku kelihatan kemas dan rapi.
Namun, semakin lama warnaku semakin pudar kerana selalu digunakan oleh tuanku. Pada suatu hari, tuanku telah memasukkan aku ke dalam sebuah plastik yang besar. Aku berasa amat sedih dan kecewa dengan sikap tuanku. Di dalam plastik itu, terdapat lagi kawan-kawanku yang senasib denganku. Mereka semua kelihatan sedih. Kata mereka, kami akan didermakan kepada sebuah badan kebajikan. Walaupun berasa sedih, namun aku tetap berbangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan lagi kepada mereka yang memerlukannya.

1          Siapakah ‘aku’ dalam petikan di atas?
A         Sepasang baju Melayu              
B          Sepasang anting-anting
C          Sepasang baju kurung               
D         Sepasang kasut

2          Di manakah ‘aku’ dilahirkan?
A         Di negeri Pahang                      
B          Di negara Jepun
C          Di Petaling Jaya                       
D         Di Kuala Lumpur

3 Semua pernyataan berikut menyebabkan ‘aku’ berasa bangga kecuali
A         dapat memberi perkhidmatan kepada tuannya
B          mempunyai warna yang menarik dan potongan badan yang cantik
C          sering menerima pujian daripada kawan-kawan tuannya
D         dibawa dengan lori ke pasar raya yang besar

4 Mengapakah perempuan muda itu tersenyum apabila membelek-belek ‘aku’?
A         kerana kecantikan ‘aku’ dan sesuai dengan saiz badannya
B          kerana ‘aku’ dijual di pasar araya yang besar
C          kerana harga ‘aku’ lebih mahal berbanding dengan kawan-kawan ‘aku’
D         kerana dia berminat untuk membeli kawan-kawan ‘aku’

5 Apakah nasib yang menimpa ‘aku’ selepas dimasukkan ke dalam sebuah plastik?
A         ‘Aku’ akan diberikan kepada orang lain
B          ‘Aku’ telah digunakan sebagai pengelap lantai
C          ‘Aku’ akan disumbangkan kepada sebuah badan kebajikan
D         ‘Aku’ akan dibuang ke dalam tong sampah

Monday 16 July 2012

Latihan Kata Nama


Lengkapkan ayat di bawah dengan perkataan yang paling sesuai.


1.       Bapa saya seorang _______________ bahasa di Universiti Teknologi Malaysia.
2.       _______________ dari Johor Baru ke Melaka mengambil masa selama tiga jam.
3.       Murid-murid diwajibkan menyertai kegiatan ______________di sekolah pada hari Sabtu.
4.       ________________ merupakan antara bangunan yang tertinggi di Asia Tenggara.
5.       Adik Rohaina akan menjalani pembedahan pintasan jantung di _______________________.
6.       Hampir 100 00 orang kanak-kanak di China mengalami __________ makanan selepas minum susu yang tercemar.
7.       Pengambilan _______________ tambahan tanpa nasihat doktor boleh mendatangkan kesan sampingan.
8.       Sungai membekalkan sumber air untuk kegunaan _____________.
9.       Mengikut ____________, 80% daripada anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas mengalami masalah pendengaran.
10.   Pencemaran dan penggondola hutan telah menjadi punca kepada ____________ global.

Friday 13 July 2012

Pantun Teka-teki


    
Terbang tinggi si burung helang,
     Hinggap di atas pohon meranti;
Anak ramai ibunya seorang,
     Bila bergesel berapi-rapi?

Ada tubuh ada tangan,
     Tiada kepala tiada kaki;
Sangat berguna waktu hujan,
     Apakah dia yang dimaksudkan ini.

Buah budi bidara mengkal,
     Masak sebiji di tepi pantai;
Hilang budi bicara akal,
     Buah apa tidak bertangkai?

Budak-budak ramai di pekan,
     Hari raya membakar petas;
Kalau adik pandai kiasan,
     Apakah buah gugur ke atas?

Tinggi duduk di atas sekali,
     Bukan bulan bukan matahari;
Bila malam ia berseri,
     Bila siang ia berganti.

Pergi umrah setiap tahun,
     Moga sentiasa murah rezeki;
Dalam batang ada daun,
     Dalam daun ada isi?

Bila kecil boleh ditiup,
     Sudah besar janganlah lagi;
Kalau tercucuk ia meletup,
     Kalau terlepas terbangnya tinggi.

Pantun Nasihat

           Ambil dayung kayuh sampan,
    Cari buluh buat galah;
Marah dan bengis jadi amalan,
    Sepanjang hayat hidup susah.
 

      Ambil cupak sukat beras,
    Ambil buluh buat galah;
Kalau hidup berhati ikhlas,
    
          Hidup kita diberkati Allah.
      Ambil kapak pergi ke bukit,
    Tebang pokok buat perahu;
Kita senang meminta duit,
    Susah mencari kita tak tahu.
 Anak musang di tepi telaga,
    Sarang tupai di pohon manggis;
Perasaan ibu hendaklah dijaga,
    Jangan sampai ia menangis. 


  Anak seluang dimakan haruan,
    Kupu-kupu di tepi paya;
Masa terluang jangan disia-siakan,
    Jadikan buku teman setia.

Kata Nama Khas


1.       Kata Nama Khas

Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa.

Bil
Kategori
Contoh
1
Manusia , Orang
Doktor Afendi, Puan Maimunah, Encik Ali, Datuk Zainal dll

2
Haiwan , Binatang
Sang Rangkak, Si Comel, Pak Belang, Sang Kancil dll

3
Benda
Proton Waja, Acer, Swatch, Stabilo, Bata, Dunhill dll

4
Tempat
Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll


2.       Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Thursday 12 July 2012

Kata Nama

KATA NAMA
Perkataan NAMA terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu KATA NAMA dan GANTINAMA
dan satu lagi dipanggil NAMA TERBITAN.

a) Kata Nama Am 
b) Kata Nama Khas
c) Kata Ganti Nama
d) Kata Nama Terbitan
e) Kata bilangan

Nama Betul

Nama betul dibahagi kepada dua jenis iaitu Nama Am dan Nama Khas.

1.       Nama Am

Kata Nama Am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa   
seperti orang, haiwan, dan sesutu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya.
Dengan kata lain perkataan Nama Am digunakan bagi menyebut sesuatu secara am atau umum.



Bil
Kategori
Contoh
1
Manusia , Orang
ayah, perempuan, kerani, polis, guru, doktor, askar dll

2
Haiwan , Binatang
ayam, gajah, kerbau anjing, kuda, burung, ikan dll

3
Benda
pasir, kayak, radio, rumah. Motorkar, pen, buku, dll

4
Tumbuh-tumbuhan
pokok, betik, rumput, lalang dll

5
Tempat
pejabat, pulau, sekolah, kampung, bandar, negeri dll


2.       Kata nama am dapat dibahagikan kepada kata nama yang:
  
  •  konkrit, nama sesuatu yang dapat dipegang, atau dapat dirasa, atau dapat dilihat 
  •  abstrak, iaitu nama sesuatu yang hanya dapat dibayangkan atau dikhayalkan.


Latihan Simpulan Bahasa 1

Isi tempat kosong dengan simpulan bahasa yang berikut.

 baik sangka             anak angkat           angkat kaki                alas perut           bahasa dalam          bekas tangan            cabut nyawa          durian runtuh              mencari jalan      beri muka

 1. Pagi tadi Ah Meng ....................sebelum pergi Taiping.

2. ....................Pak Cik Ismail menjadi doktor gigi.

 3. Apabila pegawai penguatkuasa datang ke tempat itu, semua penjaja yang tidak tidak berlesen
 ..................

 4. Perkataan santap, gering dan beradu merupakan ........................

 5. Orang tua selalu ..........................dengan semua orang.

6. Inilah manuskrip ..........................pengarang yang terkenal itu.

7. Ayahnya terlalu ...........................kepada anak lelakinya, akhirnya dia menjadi budak yang nakal.

 8. Perompak itu hendak .......................mangsanya, tetapi hasratnya tidak berjaya bila polis sempat   menembaknya.

 9. Apabila dia disuruh membuat kerja yang berat, dia selalu ......................

10. Pada hujung tahun semua kaki tangan kerajaan mendapat .....................

Monday 9 July 2012

Kenapa Perlu Ada Kemahiran Menulis

Hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan pelajar menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Keadaan ini menyebabkan seseorang pelajar yang tidak memiliki kemahiran menulis yang baik sering menghadapi masalah untuk menjawab soalan bukan kerana diri mereka tidak bijak tetapi mereka tidak memiliki kemahiran untuk meluahkan kebijaksanaan mereka itu dalam bentuk tulisan. Lantaran itu, pelajar yang mampu menjawab soalan dengan baik dalam peperiksaan ialah pelajar yang memiliki kemahiran menulis yang tinggi kerana selain mampu memberikan data-data yang tepat, pelajar sebegini juga berupaya menyusun jawapannya dalam bentuk yang begitu mudah, teratur dan meyakinkan pemeriksa bahawa pelajar terbabit sememangnya bijak dalam sesuatu subjek pelajaran tersebut. Jadi, tanpa pelajar semua sedari mahu tidak mahu, minat atau tiada minat, penulisan merupakan satu latihan yang harus dibuat oleh pelajar setiap hari. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa latihan menulislah yang lebih penting daripada semua latihan yang ada dalam hidup pelajar terutama apabila pelajar bakal memasuki alam kerjaya. Semua laporan kerja terutama pembentangan projek, laporan kewangan dan rancangan pembangunan produk perlu dibentangkan juga dalam bentuk penulisan. Oleh itu, mahirkan diri pelajar dengan menulis dan menulis.

Penggunaan Video Dalam P&P

Video 2

Tonton video di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan yang di sediakan di bawah.


Sumber Video : Iklan Petronas Merdeka 2010

Jawab soalan-soalan yang disediakan di bawah.

1. Namakan pertandingan yang akan disertai oleh pelajar yang terdapat di dalam video di atas.

2. Berapa hari lagi pertandingan tersebut akan berlangsung ?

3. Apakah pekerjaan ayah Raju ?

4. Nyatakan nilai-nilai murni yang sesuai yang terdapat di dalam video di atas.

5. Nyatakan pepatah / peribahasa yang sesuai berdasarkan tayangan video di atas.

Penggunaan Video Dalam P&P

Video 1

Tonton video di bawah dengan teliti. Nyatakan lima nilai murni yang terdapat dalam video  di bawah.


Sumber video : Iklan Hari Raya Petronas

Berkongsi Cara Belajar

Belajar cara D.U.A. ini amat memerlukan kepada persekitaran yang sesuai untuk adik-adik belajar.

      Kaedah ini tidak menekankan kepada cara ulang kaji secara mendalam. Sebaliknya, lebih kepada persediaan untuk membuat ulang kaji.

D      Duduk dengan baik di tempat yang adik-adik pilih untuk belajar.

      Tetapkan niat bahawa adik-adik ingin belajar. Tetapkan jumlah muka surat yang ingin adik-adik baca dan fahami. Pastikan tempat adik-adik duduki itu mempunyai cahaya yang terang dan udara mengalir dengan baik.

U      Ulang kaji sepenuhnya dengan cara yang sesuai dengan diri adik-adik tanpa gangguan.

      Sama ada adik-adik membaca dan membuat nota sahaja, menjawab soalan yang berkaitan dengan tajuk yang adik-adik baca, atau adik-adik boleh membayangkan perkara yang adik-adik baca.

A      Agihkan waktu dengan baik.

      Pastikan adik-adik membuat bacaan ketika adik-adik segar dan cergas.

      Sebaliknya, mencabar minda adik-adik dengan membuat latihan atau menjawab soalan ketika otak adik-adik agak letih.

      Walau apapun tugas adik-adik, sesibuk mana sekalipun dalam sehari, adalah sangat baik sekiranya adik-adik membuat ulang kaji setiap hari, walaupun dalam masa yang singkat. Hanya mereka yang membuat ulang kaji sahaja berkemungkinan besar akan mendapat kecemerlangan.

Sunday 1 July 2012

Selamat Datang Ke Blog Saya

Salam untuk semua ......
Sebagai blogger yang baru saya umpama anak kecil yang baru belajar bertatih...
Tugasan sebagai pelajar memaksa saya menyediakan blog ini....Harap ada yang sudi menegur dan berkongsi ilmu....
Terima Kasih...