Saturday, 21 July 2012

Latihan Kefahaman 1


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.
            Aku dilahirkan di sebuah kedai membuat pakaian di bandar Kuantan. Aku diperbuat daripada benang sutera yang dimport daripada negara Jepun. Badan aku berwarna biru dan dihiasi dengan corak bunga teratai yang berwarna kuning. Kawan-kawanku memuji kecantikanku. Sesungguhnya aku sungguh bersyukur dan bangga dilahirkan cantik sebegini.
Setelah aku siap dipotong, aku telah dibungkus dengan kemas di dalam sebuah kotak bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku dan kawan-kawanku telah dihantar dengan menggunakan sebuah lori ke sebuah pasar raya yang besar di Petaling Jaya. Aku dan kawan-kawanku akan dijual di situ.
Aku dan kawan-kawanku telah dipamerkan di sudut menjual pakaian di pasar raya itu. Aku berasa bangga berada di situ. Orang ramai yang datang sering memuji-mujiku. Kata mereka, warna aku menarik dan potongan badanku cantik. Kata-kata mereka ini tambah membanggakan aku lagi.
Pada suatu hari, datang seorang perempuan muda yang bergaya ke tempat aku dan kawan-kawanku dipamerkan. Aku ternampak dia membelek-belek kawan-kawanku, kemudian dia menggelengkan kepalanya. Perempuan muda itu ternampak aku. Akhirnya dia membelek-belekku sambil tersenyum. Dia mengacukan aku ke badannya. Kemudian, dia terus ke kaunter pembayaran untuk membayar hargaku.
Kini, bermulalah kehidupan baru dalam hidupku. Aku telah mendapat tuan yang baru. Aku berasa gembira dan bangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan kepada tuanku. Aku berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada tuanku. Tuan aku selalu mamakai aku ketika pergi ke pejabat dan ke masjlis-majlis rasmi. Kawan-kawan tuan aku sering memujinya apabila memakaiku.Aku berasa sangat bangga dengan pujian tersebut. Apabila aku digunakan, aku dibasuh dan dijaga. Kemudian, tuan aku menggosokkan aku supaya aku kelihatan kemas dan rapi.
Namun, semakin lama warnaku semakin pudar kerana selalu digunakan oleh tuanku. Pada suatu hari, tuanku telah memasukkan aku ke dalam sebuah plastik yang besar. Aku berasa amat sedih dan kecewa dengan sikap tuanku. Di dalam plastik itu, terdapat lagi kawan-kawanku yang senasib denganku. Mereka semua kelihatan sedih. Kata mereka, kami akan didermakan kepada sebuah badan kebajikan. Walaupun berasa sedih, namun aku tetap berbangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan lagi kepada mereka yang memerlukannya.

1          Siapakah ‘aku’ dalam petikan di atas?
A         Sepasang baju Melayu              
B          Sepasang anting-anting
C          Sepasang baju kurung               
D         Sepasang kasut

2          Di manakah ‘aku’ dilahirkan?
A         Di negeri Pahang                      
B          Di negara Jepun
C          Di Petaling Jaya                       
D         Di Kuala Lumpur

3 Semua pernyataan berikut menyebabkan ‘aku’ berasa bangga kecuali
A         dapat memberi perkhidmatan kepada tuannya
B          mempunyai warna yang menarik dan potongan badan yang cantik
C          sering menerima pujian daripada kawan-kawan tuannya
D         dibawa dengan lori ke pasar raya yang besar

4 Mengapakah perempuan muda itu tersenyum apabila membelek-belek ‘aku’?
A         kerana kecantikan ‘aku’ dan sesuai dengan saiz badannya
B          kerana ‘aku’ dijual di pasar araya yang besar
C          kerana harga ‘aku’ lebih mahal berbanding dengan kawan-kawan ‘aku’
D         kerana dia berminat untuk membeli kawan-kawan ‘aku’

5 Apakah nasib yang menimpa ‘aku’ selepas dimasukkan ke dalam sebuah plastik?
A         ‘Aku’ akan diberikan kepada orang lain
B          ‘Aku’ telah digunakan sebagai pengelap lantai
C          ‘Aku’ akan disumbangkan kepada sebuah badan kebajikan
D         ‘Aku’ akan dibuang ke dalam tong sampah

No comments:

Post a Comment